Noor Hisham. FOTO NSTP
Noor Hisham. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Peningkatan semula kluster pendidikan tidak boleh dipandang ringan di mana ketidakpatuhan seseorang individu terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan mencetuskan kluster yang tidak diingini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pendidikan yang meningkat bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama.

Menurutnya, data mendapati dari 16 kluster baharu yang membabitkan institusi pendidikan, sebanyak 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.

"Oleh kerana kebanyakan populasi remaja dan dewasa lengkap divaksinasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi.

"Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih lagi penting bagi mencegah jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai SOP yang ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh guru, petugas, pelajar/murid, pekerja sokongan, dan lain-lain.

"Pematuhan SOP oleh setiap individu ini adalah amat penting untuk memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19 dan penularan jangkitan di sekolah serta selanjutnya boleh menyebabkan berlaku dalam keluarga dan komuniti.

"Pematuhan ini bukan sahaja penting semasa waktu pembelajaran di dalam kelas dan ketika di dalam sekolah, malah penting juga ketika waktu rehat, waktu menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan, waktu masuk dan pulang sekolah, di dalam van dan bas sekolah, serta semasa menjalankan aktiviti harian di dalam komuniti," katanya.

Katanya, jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana, maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:24 PM