Raisya Zameena Abdul Rashid yang mempunyai masalah jantung memerlukan bantuan daripada individu prihatin bagi menyelamatkan nyawanya. FOTO Ihsan One Hope Charity
Raisya Zameena Abdul Rashid yang mempunyai masalah jantung memerlukan bantuan daripada individu prihatin bagi menyelamatkan nyawanya. FOTO Ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Impian sepasang suami isteri mahu memiliki cahaya mata untuk melengkapkan rumah tangga yang dibina sudah tercapai.

Bagaimanapun, siapa sangka mereka diuji apabila anak perempuan yang dilahirkan pada 4 November lalu mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan segera.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya didatangi Abdul Rashid Abd Latif, 31, dan isteri Zuraikha Azrin Azmi, 28, yang menceritakan keadaan bayi mereka, Raisya Zameena.

"Pasangan itu hanya mengetahui keadaan kesihatan anak mereka selepas 18 hari bayi mereka dilahirkan. Pada mulanya tidak mempunyai apa-apa masalah dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Bayi mereka kemudian mengalami demam kuning dan pemeriksaan doktor tidak menunjukkan apa-apa gelaja yang tidak diingini.

"Bagaimanapun, Rashid melihat bibir anaknya bertukar ungu dan pernafasan pula tidak normal menyebabkan dia mengesyaki anaknya mempunyai masalah jantung.

"Raisya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Baling, Kedah sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan Raisya mempunyai kecacatan jantung dan memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

"Kos pembedahan Raisya berjumlah RM110,000 dan ibu bapanya hanya dapat menampung RM50,000.

"Mereka meminta bantuan daripada badan kebajikan ini untuk mengumpul derma awam bagi menampung baki kos pembedahan," katanya.

Katanya, sebarang bantuan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:22 PM