KUCHING, 3 Dis -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-12 hari ini.Seramai 349 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRN DUN Sarawak ke-12.--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUCHING, 3 Dis -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-12 hari ini.Seramai 349 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRN DUN Sarawak ke-12.--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERNAMA

Kuching: Proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bermula hari ini menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadi rebutan paling banyak calon iaitu lapan penjuru.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan.

"Daripada 349 calon layak bertanding, 304 adalah lelaki dan 45 lagi adalah wanita," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar di sini selepas proses penamaan calon tamat hari ini.

Terdapat kira-kira 1.2 juta pemilih berdaftar pada PRN Sarawak ke-12 yang mempunyai 82 kerusi.

Beliau berkata calon tertua pada pilihan raya itu berusia 79 tahun iaitu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN Bawang Assan manakala calon termuda berumur 24 tahun dari DUN Batu Lintang (PKR) dan DUN Nangka (Parti Bumi Kenyalang).

Bagi pecahan mengikut usia, Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon muda berusia 24 hingga 29 tahun bertanding pada PRN kali ini.

Seramai 37 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 50 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 113 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 141 calon berusia 60 tahun ke atas.

Terdahulu proses penamaan calon selama satu jam yang bermula 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu, tanpa perarakan penyokong parti politik ke semua 82 pusat penamaan calon.

Sementara itu beliau berkata penetapan 64 kawasan DUN yang dibenarkan berkempen susulan tidak mempunyai capaian internet tinggi, ditentukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Semalam SPR memaklumkan penganjuran ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRN Sarawak ke-12, hanya dibenarkan di 64 kawasan DUN yang tidak mempunyai capaian Internet yang tinggi.

Selain itu SPR juga tidak membenarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya negeri, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

SPR menetapkan pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:35 PM