ABD Wahab bersyukur perbicaraan kes kemalangan di Krabi, Thailand sudah selesai dan kini aktif membantu masyarakat menerusi Squad Amal Jentar Bikers. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
ABD Wahab bersyukur perbicaraan kes kemalangan di Krabi, Thailand sudah selesai dan kini aktif membantu masyarakat menerusi Squad Amal Jentar Bikers. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Putrajaya: Tiga tahun lalu, pelbagai pihak tampil membantu dirinya terbabit dalam kemalangan di Krabi, Thailand sehingga tidak dibenarkan meninggalkan negara berkenaan.

Kini, Abd Wahab Yahaya, 59, mahu kembalikan semula 'kebaikan' itu dengan membantu pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas khususnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurutnya, menerusi Squad Amal Kelab Jentar Bikers, pelbagai program amal dan bantuan disalurkan kepada anak yatim, ibu tunggal dan asnaf sekitar Kuala Langat dan Klang sejak dua tahun lalu.

"Ketika saya ditimpa kesusahan ketika di Krabi pada Disember 2018, ramai pihak membantu termasuk keluarga dan rakan rapat membantu.

"Selepas pulih dari kecederaan dan selesai perbicaraan di mahkamah di Krabi, saya aktif bersama 30 rakan Skuad Amal Jentar Bikers menghulurkan bantuan.

"Saya anggap ini rahmat dari Allah SWT atas ujian yang diberikan kepada saya untuk kembali membantu mereka yang memerlukan dan bersyukur perbicaraan sudah selesai akhirnya," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Abd Wahab yang mesra disapa Pak Su berkata, Jentar Bikers sering mengadakan aktiviti amal seluruh negara.

Katanya, dalam masa sama, aktiviti amal yang dijalankan bagi mengikis perspektif negatif masyarakat terhadap golongan 'bikers'.

SQUAD Amal Jentar Bikers aktif membantu golongan memerlukan ketika pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Abd Wahab Yahaya
SQUAD Amal Jentar Bikers aktif membantu golongan memerlukan ketika pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Abd Wahab Yahaya

"Jentar Bikers mahu menjadi kelab motosikal berkuasa tinggi yang membawa imej positif khususnya dalam usaha membantu mereka yang terjejas kerana Covid-19.

"Squad Amal juga memberikan sumbangan peribadi selain sumbangan orang ramai dan syarikat korporat untuk membantu setiap bulan.

"Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia, rakan terdekat selain kenalan di Krabi dikenali sebagai Haji Ismail yang sanggup mencagarkan tanah untuk membenarkan saya dijamin sementara menunggu perbicaraan dua tahun lalu," katanya.

Pada 19 Disember 2018, Abd Wahab dan isteri Junaidah Mohd Said, 48, terkandas di Krabi kerana terbabit dalam kemalangan.

Kisah itu mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila terbabit dalam kemalangan di pusat peranginan itu sehingga mengakibatkan seorang pejalan kaki maut.

Akibatnya, dia yang menaiki motosikal ketika kejadian tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara berkenaan sehingga perbicaraan selesai, selain ketika itu dia patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung selain pendarahan pada mata.

Keluarga mangsa juga meminta pampasan sebanyak RM200,000 sehingga menyebabkan ahli keluarga Abd Wahab terpaksa mendapatkan bantuan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:26 PM