GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Orang ramai diminta tidak menularkan di media sosial sebarang kes jenayah tanpa sebarang bukti kukuh bagi menjaga ketenteraman awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, peringatan itu diberikan susulan satu status dimuat naik pemilik akaun 'Alika Aqib' di Facebook pada Jumaat lalu berkaitan kejadian pecah rumah di Kampung Bukit Besar, di sini.

Beliau berkata, pemilik akaun itu yang juga seorang wanita berusia 30-an memuat naik status mengenai kejadian pecah rumah di rumahnya sehingga menyebabkan dia kerugian bernilai RM50,000 apabila barang kemasnya dilarikan.

"Wanita terbabit turut mendakwa kejadian antara 3 hingga 5 pagi itu turut membabitkan tujuh rumah lain di kawasan sama.

"Hasil semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat wanita terbabit dan polis tidak menerima laporan berkaitan kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan sepanjang tempoh tiga bulan ini.

"Kami sudah memanggil wanita terbabit untuk siasatan sebelum dia mengesahkan tidak pernah membuat laporan dan hanya membuat laporan selepas dipanggil polis berhubung kenyataan dimuat naiknya itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak memuat naik sesuatu berita di media sosial jika tidak mempunyai bukti.

Katanya, tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan keresahan dan kegusaran kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 3:03 PM