Superintendan Collin Babat bercakap kepada media di luar pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Dudong di Perpustakaan Awam Sibujaya, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Superintendan Collin Babat bercakap kepada media di luar pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Dudong di Perpustakaan Awam Sibujaya, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Sibu: Suasana di empat pusat penamaan calon di sini tenang dan terkawal dengan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan dilakukan parti dan calon bertanding.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, tinjauannya di semua lokasi terbabit juga mendapati tiada penyokong parti berkumpul.

Empat pusat penamaan calon di Sibu ialah Perpustakaan Awam Sibu Jaya, Dewan Suarah Sibu, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart dan Dewan SMK Methodist.

"Pemantauan mendapati semua calon bertanding mematuhi ketetapan dengan tidak membawa penyokong mereka beramai-ramai.

"Orang ramai juga didapati tidak berkumpul di luar pusat penamaan calon untuk menyaksikan proses ini dan ini sesuatu permulaan yang amat baik dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Justeru beliau memohon agar parti politik, calon serta orang ramai agar terus mematuhi SOP sehingga hari pengundian 18 Disember ini.

"Saya berharap, tiada sebarang masalah timbul dalam tempoh berkempen ini.

"Bagi kawasan yang dibenarkan berkempen secara bersemuka seperti Bawang Assan dan Dudong, yang menghadapi masalah liputan komunikasi, saya berharap segala ketetapan dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:23 AM