PATI yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan PGA
PATI yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Lahad Datu: Sebuah pacuan empat roda yang dikesan sarat dengan muatan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Jalan Silam, berhampiran Taman Harapan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 5.20 pagi itu, kereta jenis Isuzu Bighorn itu dipercayai digunakan untuk mengambil sebahagian PATI yang baru menyelinap masuk ke negara ini.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, pasukan dari Batalion 17 PGA Lahad Datu menahan kenderaan berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan berkenaan dinaiki 11 warga Indonesia membabitkan dua lelaki, tujuh wanita dan dua kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 46 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut, semua individu terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui jalan yang diwartakan.

"Semua warga asing terbabit terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua tahanan turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan hasil pemeriksaan disahkan negatif.

Katanya, kenderaan dianggarkan bernilai RM20,000 yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:21 AM