NORHAYATI Komiza dan suami Jumahir Sulkiah, 51 dengan sayur seikat RM1 yang dijualnya di Kampung Paku, Alor Gajah di sini. FOTO Nazri Abu Bakar
NORHAYATI Komiza dan suami Jumahir Sulkiah, 51 dengan sayur seikat RM1 yang dijualnya di Kampung Paku, Alor Gajah di sini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Walaupun harga barang kian meningkat, peniaga sayur di Jalan Kampung Paku, di sini, masih mengekalkan harga RM1 bagi setiap seikat sayur dijual.

Norhayati Komiza, 41, berkata, lima ikat sayur pula dijual dengan harga RM4 yang kekal setakat ini, walaupun harga di pasaran lebih tinggi.

Menurutnya, harga berkenaan tidak berubah sejak lebih dua tahun dia berniaga pelbagai jenis sayur di lokasi berkenaan.

"Sesekali saya turut menjual sayur lima ikat berharga RM3 sahaja atas permintaan sesetengah pelanggan kerana ia dianggap sebagai sedekah.

"Antara sayur dijual termasuk sawi, kangkung, ulam raja dan bayam yang mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan orang ramai yang melalui jalan antara Alor Gajah ke Masjid Tanah.

"Setiap hari kecuali Jumaat kami berniaga di sini bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari dan selalunya ditutup lebih awal jika sayur habis dalam masa singkat," katanya.

Beliau berkata, dia dan suami, Jumahir Sulkiah, 51, mengusahakan tanaman sayur sendiri selepas memajak tanah di Kampung Rantau dengan turut dibantu lima anak mereka.

Sementara itu, Jumahir berkata, buat masa mereka tidak bercadang menaikkan harga sayur kerana mahu memberi pilihan kepada penduduk mendapatkan sayur segar dengan harga rendah, tambahan pula ia ditanam sendiri tanpa melalui orang tengah.

Pada masa sama, dia teruja menjual dengan harga lama memandangkan sudah biasa dengan dengan pelanggan yang selesa dengan harga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:44 PM