Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tukang masak yang menggugut untuk membunuh pekerja restoran di Taman Cheras, dekat sini, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik sewanya semalam.

Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Suspek bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kaskas Cheras.

"Ini adalah kejadian kali pertama suspek berkelakuan begitu, suspek merasa marah kerana dituduh membuang sampah dan air dari atas sedangkan itu bukanlah perbuatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, suspek tinggal di bilik sewa itu sejak beberapa bulan lalu dengan sewa RM400 sebulan.

"Suspek juga tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil," katanya.

Media semalam melaporkan seorang lelaki berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediamannya sehingga mengenai sebuah restoran di bawahnya

Dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, suspek didakwa mengugut pekerja lelaki itu sambil memegang pisau pemotong sayur.

Hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan sering membuang sampah dan air dari tingkat unit kediaman yang disewanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Lelaki ugut bunuh pekerja restoran sudah ditahan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 12:54 PM