DR Noor Hisham menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas hadapan, turut disaksikan , Pro Naib Canselor UKM (Kakpus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (kanan) ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. FOTO Aziah Azmee
DR Noor Hisham menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas hadapan, turut disaksikan , Pro Naib Canselor UKM (Kakpus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (kanan) ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. FOTO Aziah Azmee
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Setakat ini tiada kepastian sama ada varian Omicron yang pertama dikesan di Afrika Selatan mempunyai kadar keparahan yang tinggi jika dijangkiti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu diperlukan untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai varian itu dan jika kadar keparahannya dikesan rendah ia adalah satu petanda baik.

"Kita tidak tahu banyak mengenai Omicron, apa yang kita tahu adalah ia merebak dengan cepat.

"Persoalan adakah disebabkan liputan vaksinasi rendah di Afrika yang melonjakkan kes di sana dengan mendadak ataupun Omicron memang merebak dengan cepat seperti Delta.

"Sehingga kini pun kita tidak nampak lagi kadar keparahan (akibat jangkitan) Omicron dan ini memerlukan data terkini untuk kita menjangkakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel dalam Forum Menjangkau Masyarakat Melalui Program Pemberian Vaksin di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) yang dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan kini mengikuti rapat perkembangan serata dunia berkaitan Omicron khususnya negara benua Afrika tempat bermulanya varian itu dikesan.

Katanya, sekiranya Omicron merebak dengan cepat namun pada masa sama tidak melonjakkan kemasukan kes Covid-19, itu adalah petanda baik.

"Mungkin ia berakhir dengan kes keparahan yang kurang dan jadi macam virus selesema.

"Jadi, walaupun ada varian baharu, janganlah kita panik atau bertindak keterlaluan (over react) untuk pelaksanaan perintah sekatan seperti 'lock down' sebab kita tidak pasti lagi, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak suruh buat perintah sekatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka dan pengambilan dos penggalak adalah penting bagi mengelakkan negara menerima padah sama iaitu lonjakan kes Covid-19 seperti berlaku di Eropah.

Beliau berkata, di beberapa negara Barat, selepas vaksin diberikan kerajaannya melonggarkan kepatuhan SOP menyebabkan kes melonjak semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:53 PM