Penduduk bermain air banjir di Jalan Ulu Seladang - Permaisuri yang surut berikutan cuaca yang semakin baik. FOTO ZAID SALIM
Penduduk bermain air banjir di Jalan Ulu Seladang - Permaisuri yang surut berikutan cuaca yang semakin baik. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Setiu: Lima daripada tujuh pusat penempatan sementara (PPS) yang sebelum ini diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir di negeri ini ditutup pada 2 petang tadi.

Ini berikutan keadaan cuaca kembali cerah menyebabkan situasi banjir bertambah baik apabila jumlah keseluruhan mangsa banjir menurun daripada 182 orang kepada 34 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Roslan Abdullah berkata, lima PPS yang ditutup adalah Masjid Kampung Chalok Kedai, Masjid Kampung Gong Terap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan Balai Raya Kampung Bukit Mak Som di Setiu manakala satu di Besut iaitu PPS SK Kampung Baharu.

Katanya, PPS berkenaan ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air yang menenggelami penempatan mereka mulai surut pagi ini.

"Setakat ini, hanya tinggal dua PPS yang masih beroperasi iaitu PPS SK Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan di Kuala Nerus membabitkan keseluruhan mangsa seramai 34 orang daripada tujuh keluarga," katanya.

Katanya, penduduk terutama di kawasan rendah dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dijangka kembali bermula Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:32 PM