Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Larut: Kerajaan akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan Majilis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal pintu sempadan bagi memastikan varian Omicron tidak terus merebak dalam negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, SOP itu termasuklah hanya membenarkan negara yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk masuk ke Malaysia.

"Buat masa ini, kita ikut SOP sedia ada dalam mengawal ketat pintu masuk sempadan.

"Semua negara yang diumumkan KKM untuk tidak dibenarkan masuk, maka Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mengawal ketat pintu masuk mengikut SOP yang dimuktamatkan oleh MKN," katanya.

KKM sebelum ini mengumumkan sekatan perjalanan sementara dikenakan ke atas lapan negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, majikan di negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kelewatan dalam proses pengambil pekerja asing, ekoran kebimbangan varian Omicron.

"Ia adalah langkah kerajaan memperketatkan SOP kemasukan pekerja asing.

"Proses itu akan dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan ekonomi.

"Sebab itu, prosesnya agak ketat sekarang, jadi semua majikan patut menerima hakikat," katanya.

p>

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:27 PM