Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sistem kesihatan awam dilaksanakan di negara ini terbukti dapat mengelakkan penularan strain baharu Covid-19, Omicron daripada merebak, walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengklasifikasikannya sebagai varian membimbangkan (VOC) serta berisiko tinggi.

Mengambil contoh kes pertama Omicron di negara ini membabitkan penuntut universiti swasta di Perak berusia 19 tahun dari Afrika Selatan yang masuk ke Malaysia pada 19 November, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sampel kes indeks serta lapan kontak rapat sudah diuji semula dan didapati negatif.

"Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan kes indeks positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu.

"Ramai yang kurang faham. Sebelum WHO memaklumkan atau mengisytiharkan pada 26 November lalu Omicron adalah VOC, kita memang sudah laksanakan ujian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan untuk kes positif, sampelnya masih ada dengan kita.

"Kita kaji balik sampel, katalah kes positif ini tiba di Malaysia pada 19 November dan ketika itu tindakan mengetatkan kawalan kemasukan pengembara dari negara Afrika belum dilaksanakan lagi.

"(Namun bagi) Sistem (kesihatan awam) kita apabila (pengembara) sampai, kita kena uji.

"Dalam kes penuntut itu, apabila diuji positif, kita asingkan (kuarantin) dengan tempoh pengasingan sudah dijalankan 10 hari," katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi panel Forum Menjangkau Masyarakat Melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Auditorium, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai langkah pro aktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan penjujukan genomik bagi semua kes import baharu yang masuk dan dikesan positif Covid-19.

Beliau berkata, bagi kes import positif yang lalu pun pihaknya membuat penjujukan genomik semula selain kes baharu yang dikesan di pintu masuk negara.

"Justeru tiada keperluan bagi negara menutup pintu sempadan antarabangsa termasuk menguatkuasakan perintah sekatan atau 'lock down' buat masa ini berikutan sistem kawalan kesihatan awam diyakini boleh mengawal penularan varian baharu, Omicron," katanya.

Terdahulu dalam Twitter, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, kesemua lapan sampel ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kontak rapat penuntut positif Covid-19 varian Omicron adalah negatif.

Mengulas lanjut keadaan kes indeks Omicron pertama di negara ini, katanya, penuntut itu sudah pun pulih.

"Ada dua kemungkinan. Pertama, apabila kita buat ujian terhadap penuntut itu di KLIA, bacaan CT Value atau nilai ambang adalah 26.68 menunjukkan ia sudah dikira penghujung jangkitan.

"Apabila sudah penghujung jangkitan mungkin kebolehjangkitan semakin berkurangan.

"Yang kedua, penuntut itu sudah divaksinkan jadi ada perlindungan dalaman dan dia tidak menjangkiti orang lain. Kita uji lagi dan dia negatif maksudnya sudah pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:46 PM
DR Noor Hisham ketika ditemui media pada Forum Persada Kampus Kuala Lumpur di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. FOTO  Aziah Azmee
DR Noor Hisham ketika ditemui media pada Forum Persada Kampus Kuala Lumpur di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. FOTO Aziah Azmee