KERJA-kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Jumaat lalu. FOTO Bernama
KERJA-kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Jumaat lalu. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pergerakan tanah masih berlaku di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) menyebabkan laluan itu perlu ditutup.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu tindakan susulan diambil oleh unit cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat memandangkan setakat semalam masih ada pergerakan tanah dikesan.

"Kita sudah menutup jalan itu biarpun jalan alternatif iaitu Jalan Tapah-Ringlet baru saja dibuka selepas ditutup susulan tanah runtuh di situ pada sebelumnya.

"Diharapkan JKR sentiasa peka dan memantau pergerakan tanah di jalan itu memandangkan jabatan berkenaan sememangnya mempunyai satu alat yang boleh kesan pergerakan tanah," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Saarani berkata, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan cerun tanpa mengira kawasan tertentu.

"Tak kiralah (cerun) menghala ke Cameron Highlands, atau di mana juga kawasan cerun diketahui berisiko termasuklah di lebuh raya (Lebuhraya Utara-Selatan).

"Kita tak tahu kalau hujan, air masuk dalam tanah menyebabkan tanah tak kuat (cengkaman) menyebabkan tinggi kebarangkalian untuk tanah menggelongsor.

"Tak semestinya waktu malam sebab kejadian di (menghala) Cameron Highlands baru-baru ini berlaku pada waktu tengah hari," katanya.

Kejadian tanah runtuh di FT 18T pada Khamis lalu, mengorbankan dua nyawa yang masing-masing membabitkan pemandu dua kenderaan iaitu lori bermuatan sayur serta kenderaan pelbagai guna (MPV).

Semalam, media melaporkan Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali berkata, kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit pada Khamis lalu tidak berada dalam kategori kawasan berisiko tanah runtuh berbanding tiga lokasi lain di laluan sama iaitu antara Seksyen 38 hingga 46.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:52 PM