REMAJA yang sesat diambil keterangan oleh pihak bomba selepas ditemui. FOTO Ihsan Bomba
REMAJA yang sesat diambil keterangan oleh pihak bomba selepas ditemui. FOTO Ihsan Bomba
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Remaja lelaki ditemui dalam keadaan tidak bermaya berhampiran motosikalnya selepas hampir tiga jam sesat di dalam sebuah ladang kelapa sawit, di sini, hari ini.

Remaja berusia 15 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Ladang St. Heiler ke Ladang Senama untuk berjumpa rakannya dengan menggunakan laluan pintas di sebuah ladang kelapa sawit pada 5 petang.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Pegawai Bomba Kanan (PBK)II, Ramelan Ribut berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang dan sepasukan anggota diarahkan ke lokasi.

Katanya, remaja itu sendiri menghubungi pihak polis dan bomba berikutan tidak menjumpai jalan keluar sebaik memasuki ladang berkenaan.

"Pada masa sama, minyak motosikalnya turut habis dan dia turut memaklumkan ada bertemu beberapa individu yang melalui jalan dilaluinya, namun mendakwa enggan membantu sehingga dia terpaksa menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan," katanya.

Ramelan berkata, remaja itu juga tidak dapat memperincikan lokasinya selain dipercayai sudah panik akibat keadaan sekitar semakin gelap.

"Jadi, kita mencarinya di sekitar ladang yang dimaklumkan sehingga menemuinya yang berada berhampiran motosikalnya pada 8.30 malam.

"Remaja itu selamat dan diserahkan kepada keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 11:43 PM