PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan kenderaan yang ditimbus runtuhan tanah. FOTO  Ihsan JBPM Perak
PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan kenderaan yang ditimbus runtuhan tanah. FOTO Ihsan JBPM Perak
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat di kawasan insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini, ditamatkan sepenuhnya pada 6 petang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) itu ditutup hasil mesyuarat bersama pelbagai yang menjalankan operasi di lokasi kejadian.

"Operasi selama dua hari membabitkan kekuatan seramai 143 anggota daripada pelbagai agensi antaranya termasuk pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Pengesan Anjing (K9) JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"PKTK ditutup secara rasmi pada jam 6 petang selepas mesyuarat bersama pelbagai agensi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, lori yang tertimbus dalam insiden berjaya dibawa keluar sepenuhnya pada 5.50 petang.

Semalam media melaporkan dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley, di sini.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV), Tan Chee Heng, 36.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 10:19 PM