MAYAT mangsa ditemukan terbaring di atas batas sawah padi miliknya. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa ditemukan terbaring di atas batas sawah padi miliknya. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Lelaki ditemukan terbaring tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal di atas batas sawah padi miliknya berhampiran Tanah Perkuburan Masjid Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.45 pagi, dan menemui mangsa yang lengkap berpakaian berada dalam keadaan terbaring bersebelahan peralatan menyembur racun miliknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada mangsa.

"Temubual terhadap seorang lelaki yang juga rakan mangsa, memaklumkan ketika kejadian mangsa baru selesai melakukan kerja-kerja menyembur racun di sawah padi miliknya sebelum meletakkan tong racun diatas batas dan berehat.

"Bagaimanapun mangsa dikatakan seperti tidak bermaya dan terbaring tidak sedarkan diri di atas batas.

"Saksi yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis dan ambulans untuk bantuan kecemasan," katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Gula tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, isteri mangsa yang hadir ke lokasi kejadian turut mengesahkan suaminya, Mohammad Bin Mohtar, 59, menghidapi penyakit jantung dan pernah dirawat di Hospital Parit Buntar November lalu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk ujian saringan Covid 19 dan bedah siasat," katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:59 PM