MUHAMMAD Zaidi (kiri) tenang menceritakan sesuatu kepada Abdul Yunus mengenai tragedi yang menimpa abangnya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MUHAMMAD Zaidi (kiri) tenang menceritakan sesuatu kepada Abdul Yunus mengenai tragedi yang menimpa abangnya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Allahyarham Muhamad Hafiz Hamdi, 31, cukup bersemangat dan teruja untuk menyambut hari bahagia adiknya yang akan melangsungkan perkahwinan 19 Disember ini.

Adiknya, Muhammad Zaidi, 26, berkata, arwah turut berjanji untuk membawanya menggunakan kereta arwah pada majlis perkahwinan itu.

"Arwah juga sudah membuat tempahan ikan siakap dan udang untuk majlis makan beradap saya dan pasangan kelak," katanya hari ini.

Dia ditemui pada kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamhari, yang menyampaikan bantuan Skim Tabarro kepada keluarga Muhamad Hafiz.

Muhamad Hafiz meninggal dunia selepas lori dipandunya ditimpa runtuhan tanah di Seksyen 27, FT 185, Kilometer 39, Jalan Simpang Pulau-Blue Valley, Cameron Highlands semalam.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia dan keluarga terkilan apabila hajat arwah untuk berada bersama pada majlis perkahwinannya tidak kesampaian.

"Arwah memang teruja untuk meraikan perkahwinan saya. Paling menyedihkan, pada hari kemalangan itu, arwah membawa sebilangan besar kad jemputan perkahwinan saya untuk diedar kepada kawan-kawannya.

"Saya tidak pasti sama ada kad itu sempat diedar namun kami sekeluarga cukup sedih dengan kehilangannya," katanya.

Menurutnya, arwah adalah anak ketiga, seorang yang pendiam namun cukup sayangkan keluarganya.

Ibu arwah, Hamiah Mukri, 61, berkata, sehari sebelum kejadian (Rabu), selepas menghadiri majlis kenduri rakan, arwah pulang ke rumah dan memaklumkan dia tidak sempat mengeluarkan wang untuk diberikan kepadanya bagi menguruskan perkahwinan Muhammad Zaidi.

"Hari itu, arwah maklumkan yang dia akan memulakan perjalanan ke Cameron Highlands pada pagi Khamis dan pada masa sama, dia minta maaf pada saya sebab tidak sempat hendak serahkan wang belanja untuk majlis perkahwinan adiknya.

"Menantu saya, Nor Shahida Saidin yang berusia 31 tahun juga ada memaklumkan yang arwah meluahkan keinginan untuk berhenti kerja dan mungkin ia perjalanan terakhirnya sebagai pemandu lori sayur dengan majikannya.

"Sungguh tidak diduga, itulah kali terakhir kami bertemu. Kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Berita berkaitan

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh [METROTV]

Kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

Ada lagi kenderaan tertimbus selain lori, Toyota Vellfire

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Mayat pemandu MPV dihantar ke Jabatan Forensik HRPB

'Saya tahu, ada sesuatu yang berlaku kepada adik saya'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 4:02 PM