Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerja pembersihan di kawasan tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185, Kilometer 27.10, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini, masih diteruskan.

Ia juga bagi memudahkan operasi mengesan jika ada mangsa yang masih tertimbus dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menjalankan kerja-kerja pembersihan dan meratakan runtuhan berkenaan.

"Kami menggunakan dua anjing daripada JBPM Kuala Lumpur untuk melakukan pengesahan lokasi.

"Kita akan gerakkan Unit K9 sebanyak dua kali. Jika keputusan pencarian kali pertama negatif, kita akan laksanakan pencarian kali kedua.

"Jika ia negatif juga, kita akan buat keputusan sama ada hendak teruskan atau tamatkan operasi ini," katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada petunjuk menunjukkan ada kenderaan lain tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan.

"Berdasarkan kepada kenyataan saksi semalam, hanya satu lori dan satu kenderaan pelbagai guna (MPV).

"Kita akan gunakan juga anjing ini , tetapi untuk pengesahan tiada lagi mangsa tertimbus," katanya.

Kata beliau, tiada lagi pergerakan tanah dikesan sepanjang operasi dijalankan sejak semalam malah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga sedang membuat pemerhatian terhadap kawasan runtuhan.

"Berdasarkan cuaca, kita juga sedang menunggu saranan daripada JMG untuk mengesahkan kemerbahayaan di lokasi.

"Kedalaman runtuhan ke permukaan sedalam lima hingga tujuh meter. Dalam keadaan hujan ini, mungkin kita teruskan atau berhentikan dahulu sementara kerja pembersihan sehingga kita yakin selamat," katanya.

MUHAMAD Shahrizal Aris bercakap pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MUHAMAD Shahrizal Aris bercakap pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Berita berkaitan

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh [METROTV]

Kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

Ada lagi kenderaan tertimbus selain lori, Toyota Vellfire

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Kenderaan tertimbus: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

Mayat pemandu MPV dihantar ke Jabatan Forensik HRPB

'Saya tahu, ada sesuatu yang berlaku kepada adik saya'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 3:04 PM