LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang mengorbankan dua mangsa semalam dikenal pasti berpunca daripada keadaan hujan yang berterusan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali berkata, pihaknya mengenal pasti berdasarkan alat pengesan kadar jumlah hujan yang direkodkan.

"Kadar hujan agak tinggi sebanyak 217 mililiter selama dua minggu dan keadaannya berterusan sehingga mengakibatkan kelemahan pada tebing jalan hingga terjadi runtuhan tanah.

"Kita mendapati bahawa ia adalah satu runtuhan yang besar membabitkan melebihi 10,000 meter kiub tanah," katanya pada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian di sini, hari ini.

Hamdan berkata, susulan itu bagi tindakan jangka pendek ketika ini pihaknya akan melakukan kerja pembersihan pada tanah.

"Oleh kerana 'volume' tanah yang tinggi kita akan membuat pembersihan tanah selama satu minggu, kita akan sentiasa membuat pemantauan keadaan kestabilan cerun dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti tindakan jangka panjang seterusnya.

"Setakat ini kita masih dalam kajian untuk membuat proses kerja pembaikan jangka masa panjang," katanya.

Menurutnya, ia adalah kejadian runtuh yang pertama membabitkan kawasan berkenaan dan berlaku di luar jangkaan.

"Keadaan cerun itu sebahagian stabil manakala sebahagian lagi tidak stabil. Jadi kita masih lagi dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas adalah sebanya kira-kira 100 meter," katanya.

Katanya, laluan berkenaan dijangka akan dibuka pada 9 Disember sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Semalam, media melaporkan dua lelaki meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:15 PM