ROSMAH. FOTO BERNAMA
ROSMAH. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan, hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah pada Isnin ini untuk pendengaran rayuannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes itu.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, yang merupakan perayu dalam permohonan itu.

Hakim Hanipah berkata, peguam perayu memohon perbicaraan ditangguhkan ke Isnin ini kerana perayu belum kembali ke Malaysia seperti diarahkan Mahkamah Tinggi melalui perintah bertarikh 15 Oktober.

Beliau berkata, peguam perayu mengakui bahawa kegagalan anak guamnya untuk hadir ke mahkamah hari ini adalah tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Hakim Hanipah berkata, peguam bela responden (Sri Ram) mengemukakan bantahan terhadap kelakuan perayu yang tidak mematuhi perintah mahkamah supaya beliau kembali ke Malaysia pada 21 November dan beliau mendesak mahkamah supaya mengeluarkan waran tangkap kerana melanggar perintah mahkamah.

"Kami mengambil maklum penjelasan dikemukakan peguam perayu khususnya mengenai kesilapan pihak peguam dalam menasihati perayu untuk hadir ke mahkamah hari ini.

"Kami mengambil maklum bahawa hujahan peguam perayu bahawa setakat ini perayu tidak pernah tidak hadir dalam prosiding Mahkamah Tinggi.

"Setelah mempertimbangkan sebab-sebab di atas, kami menggunakan budi bicara kami untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap perayu ketika ini dan akan memberi peluang kepada perayu untuk hadir di hadapan kami seperti dilakukan peguam perayu.

"Oleh itu, seperti dipersetujui kedua-dua pihak, perbicaraan hari ini akan ditangguhkan kepada 6 Disember untuk sambungan perbicaraan," kata hakim itu yang bersidang bersama Hakim Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang dijangka melahirkan anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa membenarkan permohonan Rosmah berkata, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 November dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Terdahulu, Sri Ram memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah kerana gagal hadir ke mahkamah, hari ini dan turut meminta supaya jaminannya dibatalkan kerana melanggar perintah mahkamah.

"Kita bukan bercakap tentang kanak-kanak, kita bercakap tentang orang dewasa yang tahu apa tanggungjawab dan liabiliti mereka. Perkara di sini adalah perintah tidak dipatuhi. Jika ini kes rakyat biasa, seorang Ahmad bin Abdul, Muniandy atau Ah Chong, pasti berbeza. Saya tidak tahu kenapa harus berbeza dengan Rosmah binti Mansor dan bukan Ahmad bin Abdul.

"Kita perlu berpandukan perintah mahkamah. Jika orang ramai akan mengabaikan perkara ini maka apa gunanya membuat perintah ini? Perintah biasa adalah waran tangkap mesti dikeluarkan dan jaminan mesti dibatalkan," katanya sambil menambah bahawa Rosmah tidak seharusnya dilayan secara berbeza daripada tertuduh lain atau orang ramai akan hilang keyakinan terhadap mahkamah.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata, mereka telah menulis surat kepada pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan untuk memaklumkan bahawa Rosmah akan kembali ke Malaysia pada 6 Disember.

Bagaimanapun, Hakim Hanipah mencelah dengan berkata, surat itu hanya diberikan kepada panel hakim 10 minit sebelum prosiding bermula.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang juga mewakili Rosmah berkata, beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya atas ketiadaan Rosmah dan memohon penangguhan sehingga Isnin.

Peguam itu berkata, bahawa terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya selepas mengambil kira Laluan Perjalanan Lengkap Vaksini (VTL) yang baru diperkenalkan.

Hakim Hanipah kemudian bertanya sama ada Rosmah telah kembali ke Malaysia, dan Jagjit menjawab bahawa anak guamnya masih di Singapura.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes rasuah beliau dalam usaha untuk bebas daripada tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 4 Oktober, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu selesai rayuan beliau dalam kes sama.

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober lalu. Perbicaraan dijadual disambung pada 8 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:17 PM