GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa khas diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkaitan akan mengenal pasti langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, laporan mengenainya dan cadangan penyelesaian akan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

"MPN dalam sidang lalu meneliti kesan ke atas keupayaan sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutama dari sudut ketidakupayaan penawaran bagi memenuhi permintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Dalam hal ini, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) diberikan penekanan khusus oleh MPN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan kini.

Katanya, langkah itu dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

Tambahnya, jawatankuasa yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN.

"Saya berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

"Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada mereka yang ingkar," katanya.

Beliau dalam pada itu berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

Menurutnya, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee diberi tanggungjawab menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 4:19 PM