Dr Kasemani Embong
Dr Kasemani Embong
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Terengganu mencatatkan sebanyak 768 kematian akibat Covid-19 sejak negara dilanda wabak berbahaya itu sehingga akhir November lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata, seramai 595 atau 77.5 peratus daripada 768 kematian adalah membabitkan pesakit yang tidak pernah menerima suntikan vaksin Covid-19 membabitkan 343 orang (45.0 peratus) wanita dan 425 (55.0 peratus) lelaki.

Menurutnya, peratus kematian mengikut usia paling tinggi dalam kalangan individu adalah yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus).

"Daripada jumlah kematian ini juga, 85.7 peratus atau 658 orang mempunyai faktor komobid dan antara faktor penyebab peningkatan kematian ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit dalam kalangan mereka yang berumur melebihi 50 tahun.

"Mereka yang berusia 50 tahun lebih berisiko untuk mempunyai imuniti berkurangan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal.

"Majoriti yang sudah lengkap vaksinasi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan yang meninggal dunia belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, peningkatan kes Covid-19 di negeri itu sudah dijangkakan ekoran pergerakan masuk ahli keluarga yang pulang ke kampung dan aktiviti pelancongan sebaik kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Katanya, bermula akhir Oktober lalu sehingga kini, Terengganu mencatat peningkatan kemasukan kes Covid-19 di hospital sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu (lima minggu) menyebabkan penggunaan katil Covid-19 di hospital mencecah 59.7 peratus.

Bagi suntikan dos penggalak pula katanya, sehingga kini seramai 31,397 individu sahaja sudah disuntik, namun pencapaian dos berkenaan amat rendah iaitu 3.4 peratus berbanding negeri lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:29 PM