PETUGAS SPR Sarawak,Nadiah Salim dan Affiq Aiman Asuandi meyusun kit peralatan mengundi  di Kuching, kelmarin, untuk diagihkan ke pusat mengundi di Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
PETUGAS SPR Sarawak,Nadiah Salim dan Affiq Aiman Asuandi meyusun kit peralatan mengundi di Kuching, kelmarin, untuk diagihkan ke pusat mengundi di Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Melvin Joni


Kuching: Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan terpakai bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, walaupun ia sudah diwartakan, namun PRN Sarawak yang akan diadakan pada 18 Disember sudah ditetapkan hanya menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.

Justeru, Wan Junaidi berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan.

"Tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini.

"Malah, Sarawak semenangnya sudah bersedia untuk menerima pengudi-pengundi muda ini," katanya yang dihubungi, hari ini.

Menjelas lanjut, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, keputusan berkenaan adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

Justeru, katanya, ia bukannya untuk menafikan atau mengenepikan hak dan hasrat belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik diwartakan pada 1 Disember 2021 dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:51 PM