Laluan VTL Darat  di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Laluan VTL Darat di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Seramai 4,536 pengembara dianggarkan tiba menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dalam tempoh empat hari pelaksanaannya bermula Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, jumlah itu berdasarkan penjualan tiket secara atas talian, syarikat bas.

Katanya, pada hari pertama VTL darat, pengembara dari Singapura ke Malaysia ialah 953 orang iaitu 66 peratus daripada kuota 1,440 yang dibenarkan untuk sehari.

"Hari kedua membabitkan seramai 1,037 pengembara (72 peratus), semalam sebanyak 1,269 orang (88 peratus) dan setakat hari ini, membabitkan 1,277 orang (89 peratus).

"Pengembara VTL darat dari Malaysia ke Singapura pada hari pertama ialah 220 orang iaitu 15 peratus dari kuota dibenarkan.

"Hari kedua, 188 orang (13 peratus); semalam 291 orang (20 peratus) dan setakat hari ini, 275 orang (19 peratus)," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengembara akan terus meningkat.

"Kita jangkakan pengembara yang tiba dari Singapura menerusi VTL darat akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Isnin lalu, pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura menerusi VTL darat antara dua negara mula beroperasi dengan had kuota 1,440 pengembara sehari.

Perkhidmatan bas menjadi mekanisma pengangkutan yang hanya digunakan VTL darat. buat ketika ini, dengan 64 trip sehari, yang menggunakan perkhidmatan bas Handal Indah (Causeway Link) (Malaysia) dan Transtar (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:06 AM