KKM menyarankan penerima suntikan vaksin Sinovac sebelum ini terutama warga emas, untuk hadir janji temu pemberian dos penggalak Covid-19. FOTO Arkib NSTP
KKM menyarankan penerima suntikan vaksin Sinovac sebelum ini terutama warga emas, untuk hadir janji temu pemberian dos penggalak Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan penerima suntikan vaksin Sinovac sebelum ini terutama warga emas, untuk hadir janji temu pemberian dos penggalak Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kumpulan terbabit paling berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 sekiranya tidak menerima dos penggalak.

Katanya, keberkesanan vaksin Sinovac akan menurun selepas beberapa bulan dan disebabkan itu dos penggalak amat penting.

"KKM menasihati warga emas yang menerima dos asal Sinovac untuk cepat dan pantas hadir ke janji temu dos penggalak.

"Lebih-lebih lagi dengan perkembangan terkini iaitu kewujudan varian Omicron yang jelas tahap kebolehjangkitannya lebih tinggi daripada varian Delta walaupun masih lagi tidak berada di Malaysia tapi langkah pencegahan perlu dibuat," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 2,457,510 dos penggalak sudah diberikan setakat ini.

Menurutnya, kehadiran janji temu dos penggalak itu amat memberansangkan dan hampir memenuhi kapasiti pemberian dos pelalian itu setiap hari, apabila senarai menunggu diperkenalkan pihaknya.

"Saya meminta supaya kapasiti pemberian dos penggalak ditingkatkan daripada 120,000 dos sehari kepada 150,000 dos sehari dan akan ditingkatkan secara berperingkat sehingga 200,000 dos," katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang sudah mendapat janji temu dos penggalak supaya hadir menerima suntikan mereka.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia mendapatkan vaksin khas Omicron, Khairy berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian baharu itu.

Beliau berkata, langkah itu akan diambil sekiranya vaksin sedia ada tidak berkesan terhadap Omicron.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:20 PM