MAHKAMAH Telok Datok. FOTO ihsan MPKL
MAHKAMAH Telok Datok. FOTO ihsan MPKL
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Lelaki mewakili syarikat lori pengangkutan dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok di sini, semalam atas kesalahan membuang sisa binaan secara haram, Oktober lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tertuduh yang berumur lewat 50an itu dihadap ke mahkamah atas kesalahan UUK 4, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007.

"Majistret Mahkamah Telok Datok, Tuan Khairul Farhi Yusob menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau 10 hari penjara.

"Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan membayar denda maksimum itu.

"Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim dan dibantu Pegawai Pendakwa MPKL, Ahmad Razali Abdul Manap," katanya dalam satu kenyataan.

Amirul Azizan berkata, pada 27 Oktober lalu, penguat kuasa MPKL yang menjalankan pemantauan terserempak dengan tertuduh membuang sampah terbabit di Jalan Teluk Mengkuang, Telok Panglima Garang.

"Lori yang penuh dengan muatan sampah sisa binaan itu disita oleh pegawai penguat kuasa MPKL.

"MPKL menyita lori syarikat terbabit selama sebulan 20 hari dan tertuduh membayar kos tuntutan sitaan lori sebanyak RM3000 bagi kos simpanan," katanya.

Beliau berkata, MPKL sering kali mengingatkan agar individu atau syarikat, tidak membuang sampah sesuka hati di daerah ini.

"MPKL akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau syarikat sehingga didakwa di Mahkamah.

"MPKL harap penduduk bekerjasama memainkan peranan menjaga kebersihan Kuala Langat agar sentiasa bersih, indah, harmoni dan bestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:13 AM