AHMAD Faizal merasmikan Seminar YOURS’21 secara atas talian. FOTO ihsan KBS
AHMAD Faizal merasmikan Seminar YOURS’21 secara atas talian. FOTO ihsan KBS

Kuala Lumpur: Sebanyak 53 kertas kerja dibentangkan pada Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2021 (YOURS'21) bertemakan Membentuk Masa Depan: Cabaran Belia Masa Kini secara atas talian melalui platform Zoom Webinar, semalam.

Perasmian seminar anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kali kelima itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

KBS dalam kenyataannya berkata, penganjuran kali ini membabitkan kerjasama dengan Institut Pengajian Sains Sosial (Ipsas), Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam perkongsian hasil penyelidikan yang memfokuskan kepada pembangunan belia.

"Seminar ini antara medium utama membincangkan isu-isu belia dari perspektif penyelidikan khususnya isu-isu yang relevan, terkini dan memberi fokus kepada cabaran dihadapi oleh belia.

"Di samping itu, seminar ini turut mengetengahkan kepentingan pelaksanaan inisiatif/ program pembangunan belia berpacukan data (data driven)," katanya.

Kenyataan itu berkata, daripada 53 pembentang, enam adalah pembentang antarabangsa dan 47 pembentang tempatan dengan pembentang termuda Syabil Fikri Syamsul Maizam iaitu pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun.

"Beliau membentangkan kertas kerja mengenai Kepentingan Inovasi Kepada Belia Malaysia: Sorotan Perbandingan.

"Kajian beliau membincangkan mengenai peluang belia dalam dunia inovasi dan penyelidikan berbanding Jepun yang pesat membangun bagi melandasi masalah yang dihadapi orang muda untuk terus berinovasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:59 AM