Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Wan Hashim Wan Mahmood, 75, sekali lagi melakukan kayuhan mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh yang bermula hari ini.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, kayuhan sejauh 2,300 kilometer itu dijangka selesai dalam tempoh 30 hari iaitu pada 30 Disember.

"Kayuhan ini juga bagi memecahkan The Malaysia Book Records (MBOR) yang saya pegang sebelum ini dan setakat ini saya mendapat pengiktirafan daripada MBOR sebanyak enam kali iaitu pada 2014, 2015, 2017, 2018 dan 2019.

"Saya akan mula membuat kayuhan dengan mengelilingi bandar Kota Bharu sebelum pergi ke Jerteh, Terengganu.

"Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan, namun saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk melengkapkan kayuhan pada kali ini," katanya ketika ditemui di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Majlis pelepasan kayuhan basikal dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Timbalannya, Zabidi Ishar.

Pak Wan berkata, dia juga akan menjaga diri dan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

PAK Wan bersama basikal yang akan digunakan bagi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh yang bermula hari ini di pekarangan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PAK Wan bersama basikal yang akan digunakan bagi kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia buat kali ketujuh yang bermula hari ini di pekarangan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada Pak Wan dan berharap beliau menjadi contoh kepada seluruh rakyat Kelantan terutamanya golongan muda.

"Kita berharap Pak Wan dapat pulang dengan selamat mengikut masa yang ditetapkan bagi membolehkan beliau mencipta rekod baharu dan mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Zabidi berkata, KEMUDI berharap Pak Wan dapat merealisasikan impiannya walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk keadaan cuaca dan pandemik Covid-19.

"Kami mendoakan Pak Wan dapat menyelesaikan misi dengan selamat dan menjaga diri. Kami yakin Pak Wan mampu melaksanakannya dengan pengalaman yang ada pada dirinya sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:41 AM