AKTIVITI menanam sebanyak 120 pokok spesies gerok di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Batu Gangan. FOTO Mohd Rafi Mamat
AKTIVITI menanam sebanyak 120 pokok spesies gerok di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Batu Gangan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Cameron Highlands: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands mengesan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Batu Gangan, di sini untuk aktiviti pertanian seluas lebih 0.25 hektar.

Pegawai PHD Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, kawasan berkenaan diusahakan dengan tanaman lobak putih dan ia dipercayai dilakukan oleh beberapa individu.

Katanya, aktiviti pertanian di kawasan terbabit masih baru dilakukan kerana saiz pokok lobak putih yang ditanam masih kecil dipercayai berusia antara sebulan hingga dua bulan.

"Ketika pemeriksaan di kawasan terbabit, kita tidak menemukan individu yang mengusahakan projek pertanian secara haram itu. Kegiatan dipercayai dilakukan warga asing dan mereka sudah mengesan kehadiran kakitangan PHD Cameron Highlands.

"Kawasan berkenaan terletak berhampiran kawasan pertanian milik tanah kerajaan yang diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman sayur," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha memulihkan kawasan berkenaan segera dilakukan dengan menanam lebih 120 pokok spesies pokok gerok.

Katanya, aktiviti menanam dilakukan lebih 50 peserta program Seminar Penilaian Ekonomi dan Bayaran Perkhidmatan Ekosistem Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia .

Arifhadi Johari berkata, program pemulihan hutan dan aktiviti menanam semula pokok di kawasan ceroboh di Cameron Highlands berkenaan dilakukan oleh Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat dengan kerjasama PHD Cameron Highlands.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti menanam semula kawasan ceroboh di daerah ini dilakukan secara berterusan sejak beberapa tahun lalu.

Antara kawasan ceroboh terbesar ialah Hutan Simpan Kekal Sungai Ichat membabitkan kawasan seluas 121 hektar.

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang SUDAH menanam secara berperingkat beberapa spesies pokok seperti Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan. Kini kejayaan program penghijauan semula dapat dilihat.

"Program menghijaukan semula kawasan ceroboh perlu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan terus terpelihara, seterusnya mengelak berlaku banjir lumpur dan hakisan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:54 AM