Dr Zaliman (berkemeja biru kuning) mendengar taklimat daripada Pengasas Bersama dan Presiden Kumpulan KVG, Azman Ahmad (berkemeja merah pekat) mengenai tanaman kenaf sambil diiringi Nurulhisham Yaakob (berkemeja putih) di Industrial Kenaf Integrated Park (IKIP), Batu Bertangkup, Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN UniMAP
Dr Zaliman (berkemeja biru kuning) mendengar taklimat daripada Pengasas Bersama dan Presiden Kumpulan KVG, Azman Ahmad (berkemeja merah pekat) mengenai tanaman kenaf sambil diiringi Nurulhisham Yaakob (berkemeja putih) di Industrial Kenaf Integrated Park (IKIP), Batu Bertangkup, Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN UniMAP
Aizat Sharif


Padang Besar: Industri tanaman kenaf kini menjadi komoditi global yang memberi manfaat terutama penghasilan barangan organik berasaskan tanaman itu.

Malah, penghasilan produk berasaskan kenaf seperti bantal dan tilam banyak merancakkan lagi pembangunan dan kajian mendalam terhadap tanaman itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kenaf Venture Global (KVG) Sdn Bhd, Jazman Shahar Abdollah berkata, berdasarkan rancangan kerajaan mengikut Pembangunan Industri Kenaf Malaysia (PIKM), tanaman kenaf mempunyai nilai amat tinggi.

"Oleh itu, kerajaan begitu menyokong industri kenaf dengan memberikan beberapa projek besar di Malaysia, antaranya projek perumahan dengan bahan berasaskan kenaf bernilai RM6 bilion.

"Terdapat inisiatif lain membabitkan industri tanaman kenaf seperti pertukaran tilam dan bantal di hospital menggunakan bahan gentian kenaf.

"Selain itu, industri lain seperti sektor automotif dan penerbangan dilihat mula menggunakan bahan gentian semula jadi atau 'natural fibre' yang menggunakan kenaf," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Industrial Kenaf Integrated Park (IKIP), Batu Bertangkup, Chuping, di sini, hari ini.

Beliau berkata, segala bahan semula jadi daripada kenaf itu amat sesuai untuk ketahanan jangka masa panjang serta perubahan iklim seperti selalu dibincangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-Negara Komanwel.

Menurutnya, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UniMAP mampu menjana kemajuan teknologi menerusi kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) automasi sistem jentera yang membantu mempercepatkan proses pengeringan gentian kenaf.

Katanya, R&D itu masih di peringkat prototaip dan mesin dehidrasi itu disasarkan untuk mengurangkan pengekalan air dalam gentian kenaf selepas proses 'bio-retting' dan lebih cekap berbanding kaedah konvensional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:01 PM