DR Mohd Hayati Othman. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Mohd Hayati Othman. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) di Kedah masih terkawal dan tidak membimbangkan, namun masyarakat tetap dinasihati supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini tiga kematian dicatatkan akibat virus itu, membabitkan seorang kanak-kanak dan dua dewasa.

"Dari 1 Januari hingga hari ini sebanyak 10 kes jangkitan JE dilaporkan di Kedah.

"Dua kematian baharu yang dilaporkan Jabatan Kesihatan negeri di Kota Setar adalah pada 18 dan 25 November lalu iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, yang mana mangsa adalah golongan dewasa.

"Manakala satu lagi kes kematian di Pendang membabitkan mangsa kanak-kanak berusia empat tahun pada 13 Oktober lalu," katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sempena Sambutan 'World Clean Up Day' dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Nordin Amat.

Ahad lalu, media melaporkan JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas mengesan dua kes pada November.

Ditanya sama ada terdapat kawasan takungan atau kumbahan babi di kawasan berkenaan (Jalan Pegawai dan Tunku Bendahara), Dr Mohd Hayati berkata, punca virus itu berkemungkinan dari tempat lain berikutan tiada unsur berkenaan.

Katanya, selain babi, monyet juga boleh menjadi 'perumah' kepada penyebaran virus berkenaan sebelum dibawa oleh nyamuk Culex yang boleh menggigit manusia sama ada siang atau malam.

"JKN negeri sudah melaksanakan tindakan kawalan di kawasan yang sudah dikenal pasti bagi mengawal pembiakan nyamuk Culex.

"Kes jangkitan JE di negeri ini masih sedikit tetapi semua kena ambil langkah pencegahan, tambahan sekarang tengah musim hujan. Takut nyamuk banyak membiak dan bawa penyakit pula kepada kita semua," katanya yang memaklumkan simptom JE termasuk demam, sakit kepala dan sakit badan.

Berita berkaitan

2 kematian disebabkan JE bulan ini di Kota Setar

JKN Kedah akan jejaki kawasan pembiakan virus JE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:29 PM