GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) merayu kepada kira-kira 9,000 ahlinya di seluruh negara supaya tidak menaikkan harga makanan di restoran sekurang-kurangnya sehingga penghujung Disember tahun ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali berkata, ini kerana pihaknya menyedari kesan pandemik Covid-19 menyebabkan masih ramai yang masih terjejas dan ditambah pula situasi semasa dengan kenaikan harga barang mentah makanan di pasaran.

Beliau berkata, walaupun tindakan itu boleh menyebabkan keuntungan berkurangan namun mereka mengambil sikap perniagaan bukanlah mengutamakan untung semata-mata.

"Harga kita kekalkan dengan harga sedia ada namun saiz hidangan tetap sama. Sebagi contoh, saiz roti canai itu kita tak kompromi, tak adalah nak kecilkan roti canai sebab untuk kekalkan harga. Itu tak kena dari segi akad (dalam perniagaan).

"Kenyang masih sama, InsyaAllah. Kalau kata nak potong ayam jadi kecil ke, itu bukanlah kami. Kita ini meniaga bukan keuntungan semata-mata. Berkat doa pun perlu ada termasuklah daripada pelanggan kami.

"Mengenai kenaikan harga barangan mentah, saya selaku Presiden meminta ahli persatuan kalau boleh sehingga hujung tahun ini, kita masih seboleh mungkin kekalkan harga lama lebih-lebih lagi makanan ruji seperti roti canai, teh tarik, nasi lemak dan sebagainya. Setakat ini pun sehingga nak masuk hujung tahun, memang kami tidak menaikkan harga makanan," katanya.

Beliau mengulas kenaikan harga barang mentah makanan seperti sayur dan apa tindakan pihak Presma, sama ada turut menaikkan harga makanan di restoran atau menyerap kenaikan itu.

Jawahar berkata, rayuannya kepada ahli untuk tidak menaikkan harga makanan di restoran bukanlah permintaan sesiapa tetapi sebaliknya rayuan beliau secara peribadi dan ahli persatuan menerima permintaan itu dengan baik.

"Tetapi bagi saya kenaikan harga barangan di pasaran ketika ini memang terkesan. Namun dari segi operasi kami, yang terganggunya adalah disebabkan kekangan tiada pekerja. Bisnes dah kembali beroperasi sehingga 70 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun dengan pekerja yang balik ke negara asal untuk bercuti namun tidak boleh masuk semula ke negara ini selain permintaan untuk kemasukan pekerja baharu juga masih tergantung (belum ada kata putus) oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), itu yang jadi masalah utama.

"Usaha kita untuk ambil pekerja tempatan sehingga hari ini memang kurang mendapat respons positif dalam kalangan warga tempatan. Itu sahaja, yang lain (untuk operasi restoran), Alhamdulillah lancar.

"Cuma apabila berlakunya kenaikan harga barangan di pasaran, keuntungan kami akan berkuranganlah. Dalam konteks sekarang, restoran menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat atau CSR. Tidak dinafikan memang semua orang nak untung, tetapi dalam keadaan pandemik semua orang terkesan malah kami pun sama, namun perlu ada sesuatu tindakan yang boleh kita buat untuk negara kita," katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai kenaikan harga barang mentah makanan, katanya, dahulu kenaikan harga biasanya bermusim seperti menjelang musim perayaan tetapi sekarang sewaktu pandemik ia tidak begitu sebaliknya harga tiba-tiba boleh naik mencanak.

Antara faktor, katanya, rantaian pembekalan terganggu seperti tenaga kerja asing kurang.

"Malah untuk tangkapan ikan juga, ramai nelayan adalah dalam kalangan warga asing. Apabila pekerja asing tidak ada, kebergantungan untuk kita dengan warga tempatan pula bermasalah sebab ramai tidak berminat

"Sebenarnya nelayan laut dalam, selama ini kita banyak juga bergantung kepada warga asing. Apabila tenaga kerja berkurangan namun pada masa sama permintaan untuk produk adalah tinggi, automatik harga turut naik," katanya.

Beliau turut memberikan contoh senario di pasar borong apabila tidak dibenarkan warga asing bekerja, itu juga boleh menjadi punca kenaikan barang mentah seperti sayur dan sebagainya kerana rantaian pembekalan terganggu.

"Bukanlah kita nak menggalakkan pekerja asing tetapi kebergantungan kita kepada mereka masih perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:22 PM