CHOW Kon Yeow
CHOW Kon Yeow
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Tuntutan dibuat kerajaan negeri Kedah terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah disuarakan melalui platform rasmi, bahkan tidak dibangkitkan dalam mesyuarat antara Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar bersama Perdana Menteri, sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika menjawab soalan tambahan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Lee ingin mengetahui sama ada isu tuntutan dibuat Kedah terhadap Pulau Pinang pernah dibangkitkan dalam forum rasmi atau pertemuan antara pemimpin negeri dan Kerajaan Pusat.

Chow (DAP-Padang Kota) berkata, segala tuntutan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya disuarakan secara tidak rasmi atau melalui kenyataan serta pandangannya kepada media.

"Mungkin Menteri Besar Kedah tidak berani mahu menyebut isu ini dalam mesyuarat rasmi, tetapi cuma berani sebut di luar melalui kenyataan dan pandangan kepada media sahaja.

"Jika Menteri Besar Kedah begitu serius dengan tuntutan dibuat, beliau sepatutnya menulis kepada Kerajaan Persekutuan dengan terang dan jelas berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Pulau Pinang tidak pernah menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Kedah.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah dilaporkan menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Muhammad Sanusi turut menuntut RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat selepas menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.

Mengulas mengenai strategi kerajaan negeri dalam menangani isu diplomasi dengan Kedah selain tidak melayan sebarang tuntutan dibuat, Chow berkata, perkara itu menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan dan Negeri kerana Pulau Pinang adalah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai keperluan untuk mempertimbangkan apa-apa tuntutan daripada Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:06 PM