KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jangkitan varian Covid-19 baharu B.1.1.529 yang kini dinamakan Omicron, mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini belum dipastikan sejauh mana 'ganasnya' (virulent) virus itu.

"Apa yang boleh kita lakukan setakat ini adalah meningkatkan intervensi kesihatan awam (pemakaian pelitup muka, penjarakan, jaga kebersihan), menambah baik pengaliran udara, jaga kesihatan tubuh badan dan ambil dos penggalak vaksin apabila ditawarkan," katanya menerusi akaun Twitternya hari ini.

Jumaat lalu Khairy mengumumkan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk melawat tujuh negara yakni Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe susulan kemunculan varian baharu itu.

Menurutnya ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan langkah kawalan dan menjaga sempadan negara, berkuat kuasa esok.

Beliau berkata tiga negara yang melaporkan kes-kes berkaitan Omicron setakat ini ialah Afrika Selatan, Botswana dan Hong Kong.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:06 PM