GRADUAN Usim menunjukkan aplikasi Tas yang boleh memeriksa ketulenan skrol ijazah graduan. FOTO Ihsan USIM.
GRADUAN Usim menunjukkan aplikasi Tas yang boleh memeriksa ketulenan skrol ijazah graduan. FOTO Ihsan USIM.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) membangunkan sebuah aplikasi menggunakan teknologi blockchain bagi mengesahkan ketulenan skrol ijazah graduan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, aplikasi dinamakan Tasdiq Al-Syahadah (Tas) itu bersifat mudah alih yang boleh mencegah penipuan ijazah.

Katanya, ia juga dibangunkan dengan kos lebih rendah menggunakan kepakaran dalaman yang diterajui oleh Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM dengan kerjasama iExploTech dan Sekretariat Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) DLT Network.

"Tindakan proaktif ini diambil dalam usaha mencegah penipuan ijazah atau ijazah palsu bagi menjaga reputasi dan integriti sijil akademik universiti.

"USIM telah bekerjasama dengan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) bagi proses penilaian (skrol) yang dianggotai oleh pakar keselamatan siber universiti awam dan swasta, selain turut dinilai oleh wakil pakar keselamatan Cyber Security Bristol, United Kingdom.

"Semakan maklumat skrol digital ini hanya boleh dibuat ke atas graduan yang telah memberi kebenaran kepada aplikasi Tas Usim bagi tujuan perkongsian maklumat sesuai dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)" katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Ridza berkata, bagi menjamin ketulenan dan keselamatan aplikasi Tas Usim, pihaknya telah menggunakan perkhidmatan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma) yang disedikan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

"Ia dapat menempatkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh mana-mana agensi kerajaan secara berpusat sebelum dimuat naik di Google Playstore, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim Dr Hammad Farhi Mohd Saudi berkata, bakal majikan atau pihak berkepentingan boleh memuat turun aplikasi Tas Usim di Google Playstore mulai hari ini, manakala pengguna selain android boleh menggunakan versi web yang dijangka dapat diakses sebelum akhir Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 12:36 PM