Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


Ipoh: Tindakan seorang lelaki yang bersahaja mencuri tiang besi milik Telekom Malaysia (TM) di Manjoi, di sini, meskipun sudah ditegur dan dirakam orang awam sehingga video itu tular sejak semalam, mengundang padah apabila diberkas polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, suspek berusia 41 tahun itu diberkas sekitar 12.15 pagi hari ini bersama barangan yang dicuri di sebuah bangunan kosong di Manjoi.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan yang dibuat oleh orang awam 9.16 malam semalam di Balai Polis Jelapang.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau atas pelbagai kesalahan terutama dadah, melakukan perbuatan itu di sekitar Manjoi dan Jelapang.

"Saringan air kencing turut mendapati suspek positif morfin. Kini suspek dalam tahanan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

RAKAMAN video yang tular lelaki ditegur ketika mencuri tiang besi TM. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN video yang tular lelaki ditegur ketika mencuri tiang besi TM. FOTO Ihsan Pembaca

Terdahulu, dua rakaman video seorang lelaki dipercayai mencuri tiang besi milik TM di Manjoi tular di media sosial.

Berdasarkan video berkenaan, individu yang merakam 'gelagat' lelaki terbabit menegur tindakannya namun lelaki berkenaan tidak mengendahkan teguran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:06 PM