Mahdzir sekitar sesi pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA Liner/PKD Papar Wheel RAVO bertempat di Perkarangan Tapak Tamu Dewan Masyarakat Papar. FOTO RAFIQAH DAHALI
Mahdzir sekitar sesi pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA Liner/PKD Papar Wheel RAVO bertempat di Perkarangan Tapak Tamu Dewan Masyarakat Papar. FOTO RAFIQAH DAHALI
Rafiqah Dahali


Papar: Peruntukan sebanyak RM1.25 bilion khusus untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi melaksanakan 248 projek pembangunan prasarana di Sabah sudah diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu akan disalurkan untuk pelaksanaan projek pada tahun hadapan.

Katanya, jumlah peruntukan RM1.25 bilion yang diluluskan itu juga meningkat sebanyak 6.25 peratus bagi tahun 2022 berbanding peruntukan untuk tahun 2021.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata antara projek pembangunan prasarana untuk Sabah yang terbabit membabitkan empat kategori projek.

"Projek itu ada empat kategori. Permintaan Sabah adalah projek Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan projek Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT," katanya.

Selain itu, Mahdzir ketika ditanya mengenai belanja peruntukan tahun 2021 bagi Sabah, Mahdzir menjelaskan sebahagian peruntukan itu tidak dapat dibelanjakan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, peruntukan itu akan digunakan untuk menyambung dan meneruskan projek pembangunan yang tergendala itu pada tahun hadapan.

"Bajet 2021 itu sedang digunakan tetapi ada juga projek yang tidak dapat dilaksanakan penuh kerana pandemik Covid-19, jadi projek itu akan bersambung pada tahun 2022.

"Tidak ada projek yang akan dihentikan, semuanya akan disambung semula pada tahun 2022, cuma projek yang baharu akan dikira sebagai projek baharu tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA Liner/PKD Papar Wheel RAVO bertempat di pekarangan Tapak Tamu Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal; Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar @ Yusuf Khan Bahdar/ Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi.

Dalam pada itu, Mahdzir turut berkata pihaknya melaksanakan Operasi Vaksin Penilaian Pantas atau Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO) bagi mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar.

Program di bawah tanggungjawab sosial korporat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan anak syarikatnya, MARA Liner Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Pusat Kesihatan Daerah Papar, bergerak dari rumah ke rumah penduduk.

Katanya, pelaksanaan program vaksinasi secara mobil itu adalah bagi memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

Program RAVO membabitkan 21 perkampungan di Papar meliputi 1,500 orang masyarakat luar bandar yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Selain Papar, program juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran tujuh ribu penduduk akan divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:43 PM