Nita Kaur, 50-an.
Nita Kaur, 50-an.
Amir Abd Hamid


Sepang: "Hari ini sangat beremosi bagi saya. Gembira dapat pulang ke tanah air. Saya sudah terlalu rindu untuk berjumpa bapa," kata Nita Kaur, 50-an.

Beliau adalah antara 240 penumpang yang juga kumpulan pertama menggunakan kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara dari Singapura ke Malaysia sejak penularan Covid-19.

Penerbangan sulung membawa kesemua pengembara berkenaan bagi menandakan pembukaan semula sempadan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 pagi hari ini.

Nita yang tidak dapat menahan emosinya jelas sebak ketika ditemui media di pintu ketibaan KLIA.

"Gembira... gembira saya kembali ke rumah. Saya tidak pulang ke Malaysia sejak Ogos tahun lalu.

"Perasaan syukur dan gembira. Tambahan pula dengan menggunakan VTL, kita tak perlu untuk menjalani kuarantin.

"I think enough for lockdown please (saya rasa cukuplah dengan sekatan pergerakan yang dilaksanakan)," katanya.

Temubual bersamanya berlangsung tidak sampai dua minit kerana Nita mahu bergegas untuk menemui bapanya.

Menurutnya, kali terakhir dia dapat menziarahi bapanya yang berada di Johor adalah pada Ogos tahun lalu.

"Keluarga saya yang lain ada di Singapura. Ayah saya pula tinggal di sini (Johor). Saya pulang untuk menziarah ayah yang sudah lama tidak berjumpa," katanya.

Katanya, untuk melepaskan kerinduan, dia selalu membuat panggilan video dengan bapanya.

Sementara itu, ahli perniagaan dari Singapura, Dr Chan Kah Khiong, 81, berkata proses perjalanan menggunakan VTL yang dilaluinya sangat baik dan lancar.

"Saya lega kerana selepas penerbangan tidak perlu menjalani kuarantin. Apa pun sebenarnya ia tetap satu praktis yang baik untuk mencegah penyebaran Covid-19.

"Saya memiliki perniagaan di sini (Malaysia) dan akan berada selama lima hari... Jumaat ini saya akan kembali ke Singapura," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya menjangkakan seramai 1,300 pengembara dari Singapura akan tiba di KLIA dan KLIA2 pada hari pertama pelaksanaan VTL mod udara antara Malaysia-Singapura.

"Enam penerbangan akan tiba di negara ini hari pertama pelaksanaan VTL," katanya.

Pada 8 November lalu, dalam kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, memaklumkan VTL bagi pengangkutan udara itu tertakluk kepada pengembara yang sudah lengkap divaksinasi dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:20 PM