SEBAHAGIAN penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 selepas tiba menggunakan kemudahan VTL. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 selepas tiba menggunakan kemudahan VTL. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid


Sepang: Kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron yang tersebar di seluruh dunia turut menyebabkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bimbang dan mengambil langkah berwaspada bagi menghalang penularan masuk virus itu.

Pengerusinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa berkaitan bagi membendung penularan varian baharu itu daripada merebak ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang arahan lanjut berkaitan isu berkenaan daripada KKM.

"Perkara itu (penularan Omicron) adalah baharu kepada kita dan ia memberi kebimbangan kepada pihak MAHB. Berikutan itu, kita sudah bekerjasama dengan pihak kementerian dan pihak berkuasa berkaitan.

"Buat masa ini kita menerima 25 penerbangan antarabangsa dari seluruh negara dan kita memantau pengumuman mengenai isu Omicron ini dengan teliti serta menunggu arahan lanjut daripada kementerian berhubung isu berkenaan.

"Kita turut bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Singapura. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak kementerian untuk membendung penularan varian itu masuk ke Malaysia," katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan hari pertama pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara Malaysia-Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya mengenakan sekatan perjalanan dari negara ini ke tujuh negara di Afrika bermula Sabtu lalu.

Tujuh negara berkenaan ialah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Sekatan itu dibuat susulan penularan varian baharu Covid-19, B.1.1.529 atau kini dikenali sebagai Omicron.

Varian Omicron itu mempunyai 32 mutasi 'spike protein' iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:20 PM