Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pulau Pinang berada pada kedudukan kedua tertinggi rumah tidak terjual di negara ini selepas Johor.

Statistik terkini mendapati sebanyak 4,683 unit rumah yang dianggarkan bernilai RM3.66 bilion yang sudah siap dibina di negeri itu tidak terjual sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, melalui data itu sebanyak 347 unit atau tujuh peratus daripada rumah tidak terjual adalah terdiri daripada rumah mampu milik berharga bawah RM300,000.

Menurutnya, perkara itu didorong dengan ketidakupayaan pembeli yang tidak berkemampuan membuat pembelian berikutan keadaan ekonomi terjejas ekoran pandemik Covid-19.

"Oleh itu, kerajaan negeri ingin mengingatkan kepada pemaju supaya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya turut memperbanyakkan pembinaan projek perumahan bagi unit di bawah harga RM300,000.

"Dalam keadaan semasa, semua pihak terjejas dan pemaju sepatutnya membuka mata dan mengambil peluang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

"Apa gunanya mereka (pemaju) membina rumah berharga RM300,000 ke atas atau sehingga mencecah RM1 juta sekiranya tidak boleh terjual disebabkan pembeli tidak berkemampuan" katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

JAGDEEP Singh Deo berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
JAGDEEP Singh Deo berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Jagdeep (DAP-Datuk Keramat) berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Zolkifly Md Lazim (Bersatu-Teluk Bahang).

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, selain menggalakkan pemaju membina rumah mampu milik, kerajaan negeri juga meminta mereka memperkenalkan pelbagai insentif seperti pengurangan caj-caj melibatkan pemajuan dan sebagainya.

"Namun perkara paling mustahak pada ketika ini adalah mengawal harga rumah mampu milik supaya tidak dijual melebihi RM300,000 kerana jika dibiarkan, harga unit ini akan dijual lebih mahal.

"Disebabkan pengawalan harga ini kita dapati hanya tujuh peratus sahaja rumah mampu milik yang tidak terjual setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:50 PM