DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan mengenai kemunculan varian Omicron yang kononnya didakwa dikesan di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan masih tiada kes varian Omicron dilaporkan dan dikesan masuk ke Malaysia.

"Tidak benar. Masih tiada lagi kes (varian Omicron) dikesan di Malaysia," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej tular mendakwa virus Omicron iaitu varian baharu Covid-19 sudah dikesan berada di Perak yang sekali gus menyarankan semua pihak supaya berwaspada.

Varian Omicron atau juga dirujuk dengan strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) muncul daripada Afrika Selatan pada 24 November lalu selain turut dikesan di beberapa negara lain luar Afrika termasuk Belgium, Hong Kong, Britain, Jerman, Itali dan Israel.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike' protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 26 November lalu menyarankan perantau dengan 14 hari sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Nambia, Afrika Selatan, dan Zimbabwe termasuk warga negara berkenaan tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:48 PM