Dua individu diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap di dalam ruang mesin ATM sebuah bank. FOTO ihsan bomba
Dua individu diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap di dalam ruang mesin ATM sebuah bank. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Keningau: Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an dipercayai masuk ke bank berkenaan untuk mengeluarkan wang.

Bagaimanapun, pintu bank tiba-tiba terkunci secara automatik sehingga memaksa kedua-dua mangsa menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa terbabit.

"Siasatan awal mendapati, semua mangsa terperangkap di ruangan mesin ATM terbabit selepas pintu automatik (roller) tertutup sendiri secara tiba-tiba.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian segera membuat 'size up' untuk membuka pintu automatik terbabit menggunakan 'crowbar'," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan operasi menyelamatkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 2.38 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 10:51 AM