OPERASI SAR mangsa turut menggunakan pasukan anjing pengesan K9 namun masih gagal dijumpai.
OPERASI SAR mangsa turut menggunakan pasukan anjing pengesan K9 namun masih gagal dijumpai.
Melvin Joni
am@hmetro.com.my

Kuching: Seorang kanak-kanak autisme berusia lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Rantau Panjang, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan pada 7 malam sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang segera menggerakkan anggota ke lokasi.

Katanya, mengikut maklumat daripada bapa mangsa, anaknya itu tinggal bersama emak saudaranya sementara dia keluar berniaga.

"Mangsa adalah kanak-kanak autisme. Sewaktu emak saudaranya mandi, mangsa keluar dari rumah dan pada waktu kejadian, hujan lebat, kira-kira jam 2 petang.

"Pasukan Bomba mendapat maklumat daripada kawan mangsa melihat mangsa pergi ke dalam hutan di hujung kampung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu dijalankan di kawasan dia dipercayai hilang bersama-sama penduduk kampung dan polis.

Katanya, pada 10.30 malam, pasukan anjing pengesan K9 tiba di lokasi dan memulakan pencarian di sekitar rumah mangsa, pada radius 500 meter.

"Kaedah pencarian secara sweeping beramai-ramai ke lokasi mangsa terakhir dilihat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa masih gagal dijumpai, dan operasi SAR ditangguhkan pada 11.30 malam.

Katanya, operasi SAR bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:16 AM