GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan memasuki Sarawak buat sementara waktu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan laporan mengenai varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529 yang membabitkan ketujuh-tujuh negara.

Kenyataan itu menyebut rakyat Malaysia dan pemegang pas Penduduk Tetap yang pulang ke Malaysia dari negara terbabit bagaimanapun dibenar memasuki Sarawak, namun perlu mematuhi beberapa syarat termasuk memohon dalam sistem EnterSarawak.

"Mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan di First Point of Entry ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi manakala kuarantin di rumah tidak dibenarkan.

"Mereka juga tidak dibenar transit ke destinasi lain sehingga lengkap tempoh kuarantin dan mempunyai keputusan negatif ujian RT-PCR Covid-19 pada hari ke-12 sebelum dilepaskan daripada kuarantin," katanya.

Menurut JPBN, pengembara dari luar negara wajib melaporkan sejarah perjalanan masing-masing kepada petugas di lapangan terbang dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

"Semua arahan ini berkuat kuasa serta-merta," kata JPBN yang turut memaklumkan Sarawak hari ini merekodkan 158 kes baharu Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:06 PM