KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa terbabas. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa terbabas. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


Setiu: Wanita maut selepas kereta Perodua Kancil dipandu suaminya, dipercayai dalam perjalanan pulang menziarahi jenazah ibunya di Kelantan terbabas di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi, mangsa Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, yang beralamat di Pulai Chondong, Kelantan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika suami isteri itu dalam perjalanan dari Johor ke Machang, Kelantan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu suami mangsa berusia 23 tahun hilang kawalan dan terbabas masuk ke bahu kiri jalan.

"Mangsa yang duduk di tempat penumpang depan tercampak keluar daripada kereta dan mengalami kecederaan parah.

"Anggota perubatan yang tiba mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:11 PM