MAYAT anggota PGA ditemukan oleh pasukan penyelamat pagi tadi. FOTO ihsan bomba
MAYAT anggota PGA ditemukan oleh pasukan penyelamat pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot dinaiki bersama abang dan anak saudaranya di perairan Lekir, di sini, malam tadi, ditemukan lemas.

Difahamkan, mangsa, Nurman Hafiz Nordin, 35, yang juga anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih keluar memancing dan dilaporkan terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang ke pelantar di Batu 8, Lekir, malam tadi.

Mayatnya ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasinya dilaporkan jatuh pada 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.09 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut dengan mendapat bantuan anggota BBP Seri Manjung.

"Mangsa pulang bercuti di kampung pergi ke laut bersama abangnya berusia 43 tahun dan anak saudara perempuan berusia 11 tahun sebelum bot dinaiki mereka dikatakan bergoyang seperti sama ada terlanggar sesuatu atau alun.

"Mangsa dan abangnya terjatuh ke dalam laut, kira-kira 1.8 kilometer dari pelantar ikan. Abang mangsa kemudian berjaya naik semula ke bot, manakala mangsa pula hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, abang mangsa cuba mencarinya tetapi gagal dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

"Mayat ditemukan pada jam 8 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 9.30 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 10:50 AM