AHMAD Rabiul (kanan) dan Mohd Ishak (kiri) bersama anugerah dimenangi mereka dalam Anugerah Apresiasi Media Terengganu anjuran UPDI.
AHMAD Rabiul (kanan) dan Mohd Ishak (kiri) bersama anugerah dimenangi mereka dalam Anugerah Apresiasi Media Terengganu anjuran UPDI.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Empat wartawan dan seorang jurugambar Media Prima Berhad (MPB) meraih kemenangan dalam Anugerah Apresiasi Media Terengganu anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam tadi.

Wartawan sambilan Harian Metro Ahmad Rabiul Zulkifli meraih tempat pertama kategori Berita Media Cetak Kebajikan Terbaik dan ketiga bagi Berita Media Cetak Pelancongan Terbaik serta membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM2,000.

Selain itu, wartawan sambilan Harian Metro, Abdul Malik Muhammad turut memenangi tempat pertama kategori Berita Media Cetak Sukan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM1,500.

Wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah pula mengungguli tempat pertama bagi kategori Video Terbaik Kebajikan dan tempat kedua kategori Video Terbaik Ekonomi sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM2,500.

Sementara itu, wartawan sambilan BH, Baharom Che Bakar yang memenangi tempat ke tiga bagi dua kategori iaitu, Berita Media Sosial Ekonomi Terbaik dan Berita Media Cetak Ekonomi Terbaik serta membawa pulang hadiah keseluruhan RM1,000.

Jurugambar sambilan NSTP, Ghazali Kori pula meraih tempat kedua bagi kategori Video Terbaik Pelancongan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Majlis yang diadakan di Pejabat UPDI itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 10:09 AM