GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran selaras Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyambut baik saranan KKM berhubung perkara itu.

"Kami sudah membekalkan Kit Ujian Kendiri Covid-19 ke sekolah rendah KPM bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan seperti mana tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

"KPM akan mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan," katanya.

Menurutnya, KPM juga menyarankan supaya ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan bermula Isnin ini.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan (NTS) selain bertujuan untuk mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:43 PM