ADHAM (kanan) mengadakan lawatan pada perasmian Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, Kota Tinggi.FOTO Ihsan MOSTI
ADHAM (kanan) mengadakan lawatan pada perasmian Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, Kota Tinggi.FOTO Ihsan MOSTI
Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan dana penyelidikan strategik berjumlah RM1.05 juta bagi pembangunan peranti mudah alih saringan dan pemantauan Covid-19 dikenali sebagai i-Breath.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, prototaip itu adalah kaedah ujian Covid-19, selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen yang digunakan pada ketika ini.

"Dengan adanya dana diberikan kepada akademia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mereka dapat membangunkan satu kaedah menguji kehadiran Covid-19 dengan pantas melalui iBreath.

"Kaedah ini dalam peringkat prototaip dan sekarang dalam proses ujian klinikal selain perlu tunggu enam bulan untuk ia disahkan.

"Selepas enam bulan, prototaip ini akan diuji oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan universiti berkaitan supaya nanti dapat menghasilkan satu produk bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti iBreath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, hari ini.

Katanya, peranti berkenaan boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 sehingga 93 peratus dalam tempoh 20 saat, akan didaftarkan di bawah KKM dan dijangka dipasarkan secara komersial penghujung tahun depan.

Pembangunan peranti yang diketuai Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Ir Dr Malarvili Bala Krishan itu dilengkapi skrin yang memaparkan ciri pernafasan dan membolehkan pemantauan kesihatan pengguna menerusi telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:57 PM